KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang dijadualkan berakhir pada 18 Feb akan dilanjutkan sehingga 4 Mac bagi Pulau Pinang, Selangor, Johor, dan Kuala Lumpur.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini berkata bagi perintah bagi Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Putrajaya dan Labuan pula ditukarkan kepada PKP Bersyarat.
Beliau berkata Perlis satu-satunya negeri bawah PKP Pemulihan.
PKP kedua (PKP 2.0) pada awalnya dirancang untuk 13 hingga 26 Jan, tetapi dilanjutkan hingga 18 Feb.
“Bagi Sarawak kerajaan negeri telah umumkan pelanjutan PKPB di seluruh Sarawak bermula 15 Feb hingga 1 Mac,” katanya pada sidang medianya.
Dalam pada itu, Ismail berkata mengenai aktiviti-aktiviti bawah PKPB dan PKPP sama dengan aktiviti dibenarkan dan tidak dibenarkan sewaktu PKPB dan PKPP 1.0 sebelum ini.
Katanya, ini juga termasuk SOP bagi kedua-duanya.
“Di PKPB seperti majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri kendara, akikah, doa selamat, tahlil, dan sambutan ulang tahun dibenarkan tetapi dengan syarat. Ada SOP iaitu dengan had kehadiran 50% kapasiti tempat.
“Operasi sektor ekonomi dilanjutkan dari 6.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam dan mesyuarat/MICE/bengkel/seminar secara bersemuka dibenarkan dengan had 50% kapasiti premis.
“Dine-in di kedai makan dibenarkan mengikut keluasan meja dengan penjarakan fizikal 1 meter, kapasiti penumpang mengikut jumlah tempat duduk kenderaan, dan SPA dan Pusat Refleksologi turut dibenarkan,” katanya.