
PETALING JAYA: Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tiada maklumat mengenai pelantikan sebagai pengerusi baharu KTMB, selepas beberapa sumber media menjangkakan timbalan presiden PPBM itu akan dilantik mulai bulan depan.
Khabar angin itu dilaporkan akhbar The Malaysian Reserve yang memetik tiga sumber, termasuk daripada industri kereta api.
Menurut laporan itu, Faizal dijangka menggantikan Rameli Musa, yang kontraknya akan tamat akhir bulan ini.
“Saya tidak mempunyai maklumat sedemikian,” katanya kepada The Malaysian Reserve.
Bagaimanapun, terdapat pihak yang menyambut baik sekiranya benar khabar angin itu.
Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) percaya Faizal dengan pengalamannya sebagai menteri besar boleh membawa idea baharu ke dalam syarikat kereta api itu.
Satu lagi kelebihannya adalah hubungan rapat dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Presiden Abdul Razak Md Hassan.
“Kalau benar pelantikan Faizal sebagai pengerusi baharu, bagi pihak kesatuan kita mengalukan,” katanya kepada FMT.
RUM berharap pengerusi baharu akan menyelesaikan dua isu utama iaitu kedudukan KTMB dalam perniagaan kargo dan penggabungan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dengan KTMB.
Berkenaan perniagaan kargo, Razak menjelaskan masalah utama yang dihadapi KTMB adalah kekurangan lokomotif dan gerabak yang perlu ditukar baharu bagi merancakkan larian kargo.
“Kargo sumber pendapatan utama KTMB. Masalah kekurangan lokomotif berlaku sejak sekian lama,” katanya.
Berkenaan RAC pula, Razak percaya ia boleh menambah hasil pendapatan KTMB menerusi pembangunan tanah milik perbadanan itu. Ketika ini RAC bawah Kementerian Pengangkutan manakala KTMB bawah Kementerian Kewangan.
“Pendapatan KTMB tidak mencukupi untuk melakukan operasi dengan hanya penjualan tiket penumpang, dan pada masa sama larian kargo juga lemah.”