
PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pengerusi Sekretariat NGO Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4), Yazid Othman selepas didakwa mengeluarkan arahan mengubah kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4.
Beliau berkata, dakwaan Yazid itu tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah.
“Saya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi dan kredibiliti saya semasa menjalankan tugas sebagai timbalan menteri pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Teo berkata, Yazid membuat tuduhan jahat dengan mendakwa beliau mengeluarkan arahan untuk menukar kandungan buku teks tersebut dalam program di Facebook Live yang dihoskan oleh Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki semalam.
Dalam pada itu, Teo mengakui semasa menjalankan tugas sebagai timbalan menteri pendidikan, beliau seringkali dihujani pelbagai isu yang dibawa oleh pembangkang. Bagaimanapun beliau berkata, kali ini ia agak unik kerana propaganda mengenai kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 itu dimulakan oleh Asyraf yang merupakan parti komponen penting dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kerajaan yang sedang memerintah, namun masih cuba mengaitkan kami yang kini berada di kerusi pembangkang,” katanya.
Teo berkata, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik sendiri telah menjelaskan tentang proses bagaimana buku teks tersebut disediakan.
Katanya, mustahil terdapat campur tangan beliau dalam perkara tersebut.
“Sepanjang berkhidmat di Kementerian Pendidikan (KPM), saya dan pegawai di pejabat timbalan menteri pendidikan tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan deraf dan kerja percetakan buku teks, apatah lagi mengarah untuk mengubah kandungan buku teks Sejarah.
“Ternyata sumber yang dinyatakan oleh Yazid sendiri mendatangkan keraguan melampau,” katanya.