
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat tidak akan bersidang dari 8 Mac hingga 8 April ini, kata Timbalan Speakernya, Rashid Hasnon yang menepis laporan berita berhubung kemungkinan sidang Parlimen akan diadakan.
Beliau berkata, sekretariat Parlimen perlu memberi notis mesyuarat sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal kepada Ahli Parlimen.
“Ada prosedur yang perlu kami patuhi sebelum kami boleh bersidang,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, satu laporan berita hari ini memetik laman web Parlimen sebagai berkata, mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 akan bermula 8 Mac hingga 8 April ini.
Tetapi, menurut laporan itu, tiada aturan urusan mesyuarat yang dimuat naik ke laman web itu.
Laporan itu menyusul kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengenai hak Parlimen bersidang dalam tempoh pelaksanaan darurat.
Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri, pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat yang dijadualkan tamat 1 Ogos nanti.
Istana Negara dalam kenyataan berkata, tanggapan sesetengah pihak yang pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat perdana menteri.
Ahli politik pembangkang memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat. Antaranya, bekas timbalan menteri pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi yang menyifatkan titah Agong itu sebagai “mimpi ngeri” buat Muhyiddin kerana kerajaan tidak lagi boleh bertindak sesuka hati.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pula berkata, Parlimen perlu bersidang semula supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional dapat diselesaikan secara muktamad.