
PETALING JAYA: Gara-gara isteri lewat masak rendang ayam, seorang suami berusia 67 tahun meludah, menampar dan duduk di atas badan pasangannya itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata isteri yang setahun lebih muda itu, bagaimanapun melawan balik dan “terjadi pergelutan hingga jatuh dari katil”.
Wanita itu membuat laporan polis dan dikatakan mengalami lebam pada dagu dan sakit badan.
Kejadian berlaku di kediaman pasangan warga emas itu di Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, kira-kira 10.30 malam Ahad lalu.
“Semasa pengadu berada di rumah, berlaku pertengkaran antara pengadu dan suspek berpunca daripada pengadu lewat memasak rendang ayam yang diminta.
“Semasa pertengkaran, pengadu ditampar di pipi dan pertengkaran berlaku hingga ke dalam bilik tidur,” kata Farouk.
Beliau berkata suspek, yang juga seorang pesara Felda, duduk di atas badan pengadu, meludah muka dan mahu mencekik pengadu, “tetapi pengadu telah melawan dan terjadi pergelutan hingga jatuh dari katil”.
Farouk berkata, suspek menghidap penyakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.
Pengadu tinggal bersama suspek dan juga ibu suspek yang lumpuh berumur 86 tahun di rumah sama, kata beliau.
Polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.