
Katanya, projek mega itu tertangguh kira-kira setahun dan mungkin berlanjutan jika kerajaan Selangor mengekalkan pendirian berkenaan.
“Saya harap kerajaan Selangor memberi keputusan tentang jajaran mana yang diputuskan.
“Bagi saya, tidak ada alasan untuk kerajaan Selangor menangguhkan keputusan mereka kerana kita (MRL) sudah memberi semua penjelasan berkaitan projek,” katanya selepas melancarkan buku karyanya bertajuk “365 Hari: Aspirasi dan Cabaran Mohd Zuki Ali”.
Memperincikan ECRL, Zuki berkata, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 terbahagi kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).
“Seksyen A sudah selesai, manakala Seksyen B selesai dari segi perancangan dan urusan untuk meneruskan projek.”
Kerajaan Selangor dilapor mempertahankan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula ECRL melibatkan Seksyen C, walaupun MRL memberikan penyelesaian dan mitigasi membabitkan perlindungan alam sekitar, meminimumkan kesan sosial dan meningkatkan kesalinghubungan kereta api.
Selain menanggung kerugian besar, beliau bimbang jika projek itu terus tertangguh, ia berkemungkinan menjejaskan imej negara di mata China.
Susulan pendirian kerajaan negeri itu, beliau berkata, memorandum berkaitan ECRL akan diserahkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong kepada Kabinet dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap penangguhan projek itu.
Mengenai bukunya, Zuki berkata, ia berkisar tentang cabaran dihadapinya sebagai ketua setiausaha negara ke-15, bermula dengan pergolakan politik dan disusuli pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi negara.
“Cabaran paling membimbangkan saya ialah cabaran dari sudut memulihkan semula ekonomi, selain masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat.”
Katanya, buku autobiografi khas berkaitan pengalamannya dan kupasan pandangan terhadap sektor perkhidmatan awam yang kini di peringkat akhir penulisan, dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini.