Belum sempat jual, penganggur dicekup miliki mercun bernilai RM50,000
Bunga api dan mercun itu dipercayai baru diperoleh dan dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang penganggur di sebuah rumah dekat Taman Desa Damai, Bentong, Pahang malam semalam kerana memiliki mercun dan bunga api bernilai RM50,000.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan jam 12.30 tengah malam selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatannya.
Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar, berkata pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah terbabit menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api.
Katanya, lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk memiliki dan menjual mercun serta bunga api.
“Hasil siasatan juga mendapati suspek baharu memiliki semua jenis mercun dan bunga api terbabit dan disimpan di dalam rumah sewa suspek sebelum dijual kepada orang ramai sempena Aidilfitri.
“Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti dari mana mercun dan bunga api itu diperoleh,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa lesen sah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua duanya sekali.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk yang sudah diubahsuai kerana perbuatan itu merbahaya selain menyalahi undang undang.