
PETALING JAYA: Ahli Parlimen dari DAP, Charles Santiago menggesa Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) agar menghentikan amalan menggunakan Cawangan Khas bagi tujuan politik.
“Jika tidak, keyakinan terhadap pasukan polis akan terus terhakis,” kata Ahli Parlimen Klang itu dalam kenyataan ringkas.
Santiago juga berkata, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador, mengesahkan sesuatu yang sudah lama disyaki berlaku, iaitu Cawangan Khas digunakan oleh golongan politik.
Beliau mengulas dakwaan Hamid bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) cuba melantik pengarah baharu bagi Cawangan Khas Bukit Aman supaya dapat mengawal bahagian itu.
Hamid berkata, perancangan itu bertujuan memastikan Cawangan Khas akan lebih mematuhi arahan dikeluarkan KDN.
Tambah beliau, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin telah memaksa Cawangan Khas melakukan beberapa operasi bagi tujuan politiknya.
Santiago berkata, beliau menganggap satu ironi apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya membisu berhubung tindakan Hamzah menggunakan unit risikan itu sebagai alat politiknya.
Malah, kata beliau, Muhyiddin yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, langsung tidak mengulas berhubung “kartel polis” yang didakwa Hamid wujud.
Pada Januari, Hamid mendakwa wujud “kartel polis” yang memastikan mereka yang bersubahat dinaikkan pangkat supaya dapat mendominasi pasukan dan hierarki polis pada masa depan.
Ini dikatakan untuk lebih memudahkan mereka melakukan “kerja kotor” kelak.
Hamid ketika itu mendakwa, kartel itu terdiri daripada pegawai polis peringkat pertengahan.