Perjelas peraturan tutup 3 hari bagi premis disenaraikan dalam HIDE, kata ahli Parlimen
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata, pengumuman saat akhir untuk nutupan sementara premis terlibat akan menjejaskan pemilik perniagaan.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii mempertikaikan peraturan penutupan tiga hari bagi premis yang disenaraikan di bawah sistem pengesanan Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE).
Katanya, pengumuman saat akhir oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob supaya premis terbabit ditutup sementara waktu akan menjejaskan pemilik perniagaan yang kini sudahpun bergelut akibat pandemik.
“Terdahulu hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin jelas menyatakan senarai lokasi dalam HIDE bukan disahkan kluster Covid-19, malah tidak perlu ditutup melainkan diarahkan pihak berkuasa.
“Pada petangnya, Ismail Sabri pula mengeluarkan kenyataan mengarahkan semua yang disenaraikan di bawah HIDE ditutup serta-merta seterusnya bercanggah dengan Khairy,” kata Yii dalam kenyataan.
Katanya, kenyataan bercanggah oleh dua kementerian itu menunjukkan kerajaan tidak lagi mampu mengawal respons pandemik.
Menurutnya, parameter dan metodologi pengesahan lokasi ‘hotspot’ mesti jelas dan disokong sains.
“Jika tidak kita akan melihat kesan yang tidak diundang termasuk stigma terhadap sektor perniagaan tertentu, yang mungkin menjejaskan perniagaan, malah juga ada yang diarahkan tutup tanpa penjelasan lanjut.”
Beliau turut mempertikaikan kenapa kilang atau tempat kerja berisiko tinggi tidak disenaraikan.
“Apakah yang digunakan untuk menentukan faktor-faktor ini? Semuanya mesti dibuat secara telus kerana ia keputusan besar yang melibatkan ratusan premis di seluruh negara,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Sistem HIDE baharu kerajaan turut mengenal pasti 1,660 lokasi berpotensi menjadi kluster sehingga 3 Mei.