Dakwaan projek LCS untuk selamatkan kontraktor satu provokasi politik, kata Ismail
Punca permasalahan LSC adalah kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan cekap berhubung status projek terbabit pada waktu itu.
PETALING JAYA: Dakwaan bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu kononnya keputusan kerajaan meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) lebih kepada mahu menyelamatkan serta menjamin kepentingan kontraktor hanyalah satu provokasi politik tidak matang.
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya punca permasalahan LSC berlaku adalah kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan cekap berhubung status projek tersebut pada waktu itu.
“Punca permasalahan LCS adalah daripada tindakan kerajaan PH yang gagal memberi sebarang keputusan pada masa itu. Ini mencetuskan masalah baru bagi syarikat korporat serta projek LCS yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong mempersoal keputusan kerajaan meneruskan LCS sambil mendakwa ia lebih bertujuan menyelamatkan serta menjamin kepentingan kontraktor serta subkontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS) dan bukannya bagi memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat bilangan kapal tempur yang menepati keperluan semasa.
Mereka turut mempersoalkan status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek tersebut.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, hakikat sebenar apa dihadapi TLDM, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead dimulakan ketika PH khususnya Mohamad Sabu, dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menyebabkan projek tersebut hilang hala tuju dan segala kerja terhenti kerana hanya dipenuhi dengan siasatan.
“Bukan itu sahaja, kerugian RM50 juta setiap bulan akibat penangguhan ini juga memberi kesan buruk kepada LTAT dan 130,000 pencarumnya.
“Kelemahan dan kegagalan bekas menteri pertahanan untuk melihat impak jangka panjang inilah yang telah mengakibatkan apa yang terjadi sekarang ini,” katanya.
Ismail turut menolak tuduhan Mohamad Sabu kononnya keputusan meneruskan projek tersebut untuk menjaga kontraktor, sebaliknya ia dibuat selepas mengambil kira semua kepentingan TLDM.
Katanya, kerajaan telah membuat kajian mendalam ke atas semua aspek dalam projek itu dan Jemaah Menteri mendapati ada lebih banyak kebaikan dan keuntungan yang akan diperolehi oleh kerajaan dan rakyat jika ia diteruskan.
“Kerajaan sudahpun membelanjakan sebanyak RM6 billion dan jika ia dihentikan, wang ini mungkin tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, malah kerajaan perlu mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk melantik kontraktor baharu,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mengulas status dana RM1 bilion yang dibangkitkan Mohamad Sabu yang kononnya hilang, Ismail berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memaklumkan ia masih dalam siasatan dan kementerian tidak mahu campur tangan dalam siasatan berkenaan.