
PETALING JAYA: Kenyataan bahawa orang miskin malas dan tidak mempunyai ilmu menguruskan kewangan adalah mitos semata-mata, dan ini dibuktikan melalui laporan terbaru oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).
UNICEF dengan kerjasama Tabung Populasi PBB (UNFPA) menerbitkan edisi terbaru laporan “Keluarga di Pinggiran” yang melibatkan tinjauan ke atas 500 keluarga yang tinggal di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur.
Laporan itu mengkaji kesan wabak Covid-19 yang sedang melanda terhadap kesejahteraan ekonomi dan emosi keluarga-keluarga ini.
Ahli ekonomi dari DM Analytics, Muhammed Abdul Khalid, yang juga salah seorang pengarang laporan itu berkata, lawatan dan perbincangan dengan keluarga terbabit mendapati banyak persepsi negatif terhadap golongan miskin bandar tidak berasas.
“Kajian ini telah menyangkal banyak mitos tentang bagaimana keluarga ini memanfaatkan bantuan.
“Sebagai contoh, dalam laporan terdahulu, kami mendapati mereka bekerja lebih banyak jam. Idea bahawa mereka malas, hanya menunggu bantuan, tak benar sama sekali,” kata beliau ketika membentangkan hasil kajian itu melalui webinar.
“Ada yang berfikir, lebih baik tak bantu mereka dari segi kewangan kerana mereka (golongan miskin) tak pandai memanfaatkannya. Ini juga tidak benar.
“Kami dapati mereka menggunakan (bantuan kewangan) untuk perbelanjaan isi rumah, dan kebanyakannya untuk anak-anak mereka,” katanya.
Komuniti ini, kata Muhammed, berterusan menunjukkan kebolehan menggunakan sumber dengan sebaik-baiknya, membantu antara satu sama lain dalam tugas penjagaan, dan berkongsi keperluan.
Mereka juga celik kewangan, dan mampu membelanjakan wang dengan bijak, katanya.
Laporan itu turut menyatakan impak wabak lebih jelas dalam kalangan ketua isi rumah wanita atau orang kurang upaya (OKU), disebabkan keadaan pekerjaan.
Kadar pekerjaan tidak formal dan pekerjaan sendiri yang lebih tinggi bermaksud golongan ini kurang akses kepada bantuan kewangan kerajaan, dan tenaga kerja mereka tidak digunakan sepenuhnya (bekerja kurang 30 jam seminggu), lebih lazim daripada purata kebangsaan.
Tambahan, purata pendapatan isi rumah yang diketuai wanita hanya RM1,300, dan bagi yang diketuai OKU, RM1,200, sedangkan purata keseluruhan pendapatan isi rumah adalah RM2,117.