
PETALING JAYA: Digitalisasi dan penggunaan dadah antara faktor utama jumlah kes HIV meningkat dalam kalangan lelaki muda yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) di negara ini.
Ketika kebanyakan negara menyaksikan penurunan dalam jangkitan HIV baharu antara 2010 hingga 2019, Malaysia melaporkan peningkatan 4%, bersama Pakistan (57%) dan Filipina (203%).
Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata banyak penularan virus tertumpu di bandar seperti Kuala Lumpur, di mana satu daripada tiga MSM muda didapati positif HIV.
“Ini sebahagian besarnya didorong oleh digitalisasi, meningkatnya capaian menerusi media sosial dan aplikasi cari jodoh,” katanya, dalam taklimat media mengenai wabak HIV dan AIDS di Asia Tenggara.
Beliau berkata, MSM yang lebih muda juga sering mencari “ruang selamat” dalam persekitaran maya.
Menurut Iskandar, penggunaan dadah untuk tujuan seks juga mungkin menjadi pendorong kepada wabak HIV dalam kalangan penduduk yang lebih muda di rantau Asia Pasifik.
Katanya, 5% hingga 15% MSM dari negara Asia Pasifik dilaporkan mengambil dadah, terutama kristal meth, sebelum melakukan aktiviti seksual sepanjang enam bulan lalu.
Iskandar berkata, rantau ini perlu memperuntukkan lebih banyak dana untuk memberi tumpuan kepada pencegahan HIV, bukannya rawatan.
“Wujud liputan intervensi HIV yang sangat besar di rantau ini, di mana sumber secara umumnya disalurkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Ini mengurangkan sumber untuk pencegahan inovatif. ”
Beliau turut berkata, ada keperluan untuk menerapkan lebih banyak model penyampaian perkhidmatan berasaskan komuniti dan menghentikan stigma untuk memperluas pencegahan dan rawatan HIV.
“Seperti bahagian lain dunia, stigma adalah penghalang utama dalam perkhidmatan HIV dan kerjasama yang berterusan. Oleh itu, kita perlu melakukan lebih banyak dalam membangunkan dan menerapkan intervensi berdasarkan bukti untuk populasi utama di seluruh rantau ini.”
Dia turut meminta pemeriksaan HIV kendiri dipertingkatkan, bersama dengan profilaksis pra-pendedahan, sejenis ubat untuk mencegah mereka yang berisiko HIV daripada dijangkiti, untuk diperluaskan ke sektor awam.