Tak menyesal hilang pelanggan rasis seperti anda, kata bakeri
Pemilik kedai kek selar individu bertanya mengenai bangsa pemilik dan kakitangannya, kerana tidak mahu membeli daripada kaum tertentu.
PETALING JAYA: Silap langkah seorang pelanggan kerana mendesak mengetahui bangsa pekerja di sebuah bakeri dalam talian di Petaling Jaya, apabila terus ditolak perniagaan itu kerana bersikap perkauman.
Perkara itu dikongsi Thirty One Fine Bakes di Instagram menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp, yang menegaskan pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sikap diskriminasi dan kebencian di Malaysia.
Pada mulanya, individu tersebut bertanya mengenai bangsa pemilik bakeri itu, yang menjawab ia syarikat berbilang kaum seterusnya bertanyakan alasan di sebalik soalan itu.
Individu itu bagaimanapun menjawab ingin mengetahui sama ada terdapat pekerja bangsa tertentu kerana tidak suka membeli barang yang dihasilkan oleh kumpulan etnik tersebut.
Bakeri itu terus menegur sikap perkauman buruk ditunjukkan pelanggan berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sentimen seperti itu.
“Perkauman dan diskriminasi adalah penyakit yang telah lama berakar umbi di negara ini, dan kami berusaha untuk memastikan tidak ada ruang untuk sikap seperti di syarikat ini.
“Syarikat ini adalah ruang bagi individu berkembang secara peribadi dan profesional, tanpa sebarang prejudis. Kerana kata-kata anda yang menjijikkan, kami tidak menyesal mengatakan bahawa kami senang hati kehilangan anda sebagai pelanggan. Selamat maju jaya,” jawabnya.
Thirty One Fine Bakes merahsiakan identiti pelanggan tersebut dalam catatan Instagramnya, namun menegaskan ingin berkongsi kejadian itu untuk menyedarkan orang ramai mengenai masalah ini.
“Kami pernah menerima mesej seperti itu sebelum ini, tetapi kini menyedari mereka tidak sepatutnya disembunyikan,” katanya.
Bakeri itu mendapat sokongan padu warganet dan pelanggannya, malah ada yang mengucapkan terima kasih kerana kelantangannya bangkit menentang perkauman.
Prithiviraj Krishnasamy ketika memuji tindakan itu berkata, ia mungkin kehilangan pelanggan tersebut tetapi mendapat pelanggan lain melaluinya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Menyedihkan! Mendedahkan dan memalukan orang bodoh dan perkauman seperti itu sebenarnya perbuatan terbaik! Anda mengendalikanya dengan beradab dan bermaruah,” kata Hiba Farooqi ketika memuji tindakan bakeri itu.