Berarak iring mayat, polis tahan 11 lelaki
Semua mereka berusia 15 hingga 35 tahun ditahan hari ini bermula 6 petang tadi.
PETALING JAYA: Seramai 11 lelaki ditahan untuk membantu siasatan kes sekumpulan individu dipercayai melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram, Butterworth, Pulau Pinang, 17 Jun lalu.
Suspek terbabit yang berusia 15 hingga 35 tahun ditahan hari ini di beberapa lokasi di Butterworth dan Mak Mandin bermula 6 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya masih mengesan beberapa lagi lelaki dipercayai turut terlibat dalam perarakan pada Khamis lalu.
“Setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan pengurus rumah pengurusan mayat itu dan menurutnya dia telah melarang kumpulan tersebut daripada berbuat demikian namun mereka tetap berdegil untuk berarak membawa mayat ke tempat pembakaran,” katanya menurut laporan Bernama.
Noorzainy berkata, kumpulan terbabit dipercayai rakan si mati iaitu lelaki berusia 23 tahun yang meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya akibat penyakit tibi.
Beliau berkata, semua lelaki yang ditahan itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
“Polis percaya dengan penahanan 11 lelaki itu dapat menyelesaikan kes tersebut dan sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.