PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Dr Adham Baba meminta pegawai perubatan kontrak termasuk yang mahu melakukan mogok jika kerajaan tidak menyelesaikan isu penempatan tetap mereka hujung bulan ini supaya bersabar.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu pelantikan pegawai perubatan secara tetap kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Saya mohon supaya doktor sedia ada dalam skim kontrak bersabar dan bertenang.
“Kita akan bawa perkara ini ke Jemaah Menteri dan kertas (cadangan) sedang disediakan untuk pastikan beberapa permohonan menjadikan doktor kontrak lebih manfaat,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini sudah melakukan beberapa penambahbaikan termasuk penyelarasan gaji.
“Apa yang kita buat sebelum ini, kita naikkan gaji dan penyelarasan gred daripada UD41 kepada UD43 di mana gaji dan gred hampir sama dengan pelantikan doktor tetap, tidak banyak perbezaan,” katanya.
Adham turut memaklumkan sehingga 31 Mei lalu terdapat 35,216 pegawai KKM yang dilantik secara kontrak melibatkan tiga skim, iaitu pegawai perubatan (23,077), pegawai pergigian (5,000) dan pegawai farmasi (7,139).
Sebelum ini, sekumpulan pegawai perubatan kontrak dikatakan akan melakukan mogok yang dirancang pada akhir Julai jika kerajaan tidak menyelesaikan isu penempatan tetap mereka.