
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dan seluruh warga polis menzahirkan ucapan takziah buat keluarga bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, mendiang Leong Chee Woh yang meninggal dunia petang tadi.
Mendiang Leong meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.
Ucapan takziah Acryl Sani itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, hari ini.
“Mendiang penerima anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke XV, Sultan Muhammad V pada 9 September 2017.
“Anak jati kelahiran Taiping, Perak, mendiang Leong memasuki perkhidmatan polis pada 1 Disember 1950 dan jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.
Beliau telah dilantik mengetuai Pasukan Rahsia Cawangan Khas iaitu Pasukan E3F atau lebih dikenali dengan nama Pasukan F dalam misi membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia.
Katanya, sejarah mencatatkan Pasukan F telah berjaya membunuh seramai 48 orang pengganas PKM dan menahan seramai 171 orang lagi bersama 1,432 orang tali barut.
“Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakan pengganas PKM di Tanah Malaya turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.
“Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku.” katanya.