
JOHOR BAHRU: Kira-kira 140 keluarga dari tujuh kampung dipercayai terjejas susulan hujan lebat diikuti kejadian ribut di Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, kejadian ribut itu yang dilaporkan berlaku antara 4 petang sehingga 5.20 petang itu telah menyebabkan 140 buah rumah mengalami kerosakan khususnya di bahagian bumbung dan garaj kereta.
Tujuh kampung yang terjejas ialah Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih, Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.
Turut terjejas ialah sebuah rumah di perumahan polis berdekatan Balai Polis Sedili yang turut mengalami kerosakan bumbung serta kerosakan beberapa bumbung garaj kereta, katanya dalam satu kenyataan malam ini.
“Setakat ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Sri Setia Jaya dan PPS Sekolah Kebangsaan Sedili Besar masih dalam proses dibuka untuk menempatkan mangsa bencana ribut yang terlibat,” kata Hussin.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan selain jumlah anggaran taksiran kerugian masih dalam siasatan, tambahnya lagi.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Maritim Negeri Johor Nurul Hizam Zakaria berkata, pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan angin kencang, kira-kira 3.30 petang tadi.
Katanya, kejadian tersebut telah menyebabkan berlakunya kerosakan dan kebocoran pada siling serta bumbung selain beberapa tingkap premis berkenaan turut pecah.
“Hujan lebat dan angin kencang di sekitar kawasan Tanjung Sedili turut memberi kesan kepada sebuah bot ronda APMM yang sedang dalam proses pembaikan di limbungan dekat sini apabila dihempap besi dan bumbung yang runtuh.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit dan pusat operasi Zon Maritim Tanjung Sedili berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ketika kejadian, terdapat dua pegawai dan 10 anggota yang bertugas di pejabat berkenaan, bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, kata beliau.
Nurul Hizam turut menasihati komuniti maritim untuk mengambil langkah berwaspada dan sentiasa memastikan semua peralatan kecemasan seperti Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) dan jaket keselamatan dibawa dalam berdepan cuaca buruk di laut.
“Sebarang kecemasan segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline (07-219 9404) ataupun talian kecemasan MERS 999,” tambahnya.