
Jurucakap Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata Kluster Jalan Utara Dua telah diklasifikasikan sebagai kluster pusat rawatan dengan dua kakitangan hospital turut dijangkiti.
Masidi berkata, kes indeks itu melibatkan seorang lelaki berusia 74 tahun yang positif ketika menjalani pemeriksaan PCR Genexpert.
Tambahnya, lelaki itu disaring sebelum melakukan pemeriksaan x-ray di dadanya.
“Ujian berikutnya mendapati 11 kes positif melibatkan dua kakitangan hospital dan sembilan pesakit lain,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19.
“Dua kes lain melibatkan pegawai penjara dan rakan serumah yang merupakan kontak rapat, menjadikan jumlah kes seramai 13 orang.”
Masidi berkata, 28 pesakit lain di wad itu diuji negatif sementara 18 petugas kesihatan masih menunggu keputusan ujian mereka.
Sementara itu, Kluster Kampung Mananam di daerah pedalaman Tongod yang dikesan pada 19 Julai dicetuskan oleh seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun yang bekerja di sebuah sekolah rendah.
Masidi mengatakan lelaki itu, yang mengalami beberapa gejala seperti sakit kepala, kesukaran bernafas dan kehilangan bau, dijangkiti dalam pemeriksaan simptomatik di pejabat kesihatan daerah.
“Saringan kontak seterusnya mendapati 14 yang lain dijangkiti di kampung itu, bererti 20 kes kumulatif dari kluster itu, termasuk lima jangkitan baharu hari ini,” katanya.
Masidi berkata, jangkitan harian di Sabah meningkat hari ini, dengan 516 kes dikesan dalam 24 jam terakhir, iaitu pertambahan 19 kes berbanding semalam.
Hampir separuh kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat dengan 216 kes, diikuti saringan kluster sedia ada dengan 161 kes.
Katanya, Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi dengan 108 kes sementara 11 daerah lain mencatatkan jangkitan dua digit.
Dua belas daerah lain mencatatkan jangkitan satu digit, katanya, dengan hanya tiga daerah iaitu Semporna, Telupid dan Tambunan yang tidak mencatatkan sebarang kes.
Sabah juga mempunyai 93 lokaliti yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).