Salah cari mangsa, ‘Syamilla’ terima 13 jahitan akibat tetakan parang
Harimau seberat 100kg itu menerkam mangsa, namun sempat ditetak menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Badak.
PETALING JAYA: Seekor harimau betina menderita 13 jahitan di kepala, selepas tersalah menerkam “mangsa” yang sempat menetaknya dalam kejadian awal bulan ini.
Harimau seberat 100kg itu yang diberi nama “Syamilla Bihai” turut cedera di muka selepas ditetak dengan parang dalam pergelutan dengan Adin Andok, 48, Orang Asli dari Kampung Badak di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim, berkata ia ditangkap 15 Julai lalu dan kini ditempatkan dalam kurungan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.
Katanya, petugas Perhilitan NWRC memberi perhatian penuh dalam merawat dan memastikan harimau betina dewasa itu pulih.
“Keadaannya kini positif. Kecederaan di muka harimau itu beransur pulih. Luka tetakan di kepala sudah dijahit. Selera makan harimau itu bertambah baik kerana Syamilla mula makan daging. Dia dipantau rapi doktor veterinar Jabatan Perhilitan serta kakitangan NWRC,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ditanya jika Syamilla Bihai akan dilepaskan ke hutan semula, Kadir berkata, keutamaan kini ialah merawat kecederaan mamalia spesies terancam itu.
“Keputusan melepaskannya ke hutan belum dibincangkan lagi. Pemeriksaan mendapati harimau betina itu tidak mempunyai kesan luka dijerat atau pernah ditembak pemburu haram.”
Dalam serangan pada 5 Julai lalu, Adin bergelut selama 15 minit melawan harimau belang yang cuba membahamnya di kebun ubi kayu di Kampung Badak, Gua Musang.
Beliau parah di kepala, mata dan badan akibat dicakar Syamilla kira-kira 3 petang dan terpaksa menahan sakit selama 15 jam di kebun terbabit sebelum bantuan dari Hospital Gua Musang tiba menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mangsa dikatakan sempat menetak harimau belang dengan parang bagi menyelamatkan dirinya selepas diterkam.