Ismail: Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN adalah sah
Isi kandungan surat pada 29 Julai, menyatakan seramai 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengesahkan isi kandungan surat pada 29 Julai, menyatakan seramai 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Ismail berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama 40 Ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.
“Berita itu sah, memang 40 Ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau yang ditemui pemberita selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting, berkata isu yang dibangkitkan hanya kepala surat yang menggunakan logo BN.
Tambah beliau, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu turut membenarkan Ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.
“Soal tarik sokongan tidak timbul, Ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail menyifatkan dakwaan dirinya akan dilantik sebagai perdana menteri interim hanya sebagai khabar angin yang tular di portal berita dan media sosial.
Katanya, dakwaan itu berkemungkinan dibuat untuk memecahbelahkan atau mengeruhkan suasana dalam kerajaan, yang sedang berusaha menangani permasalahan lebih besar, iaitu penularan Covid-19 dan kesusahan rakyat dalam situasi wabak sekarang.
“Saya juga difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada istilah Perdana Menteri atau kerajaan interim … itu saya anggap hanya khabar angin. Kita tidak perlu layan bila ada pihak yang hendak memecahbelahkan, kerana jika dilayan, ia akan bertambah teruk.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Jangan terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan kerana tindakan yang sepatutnya adalah mendamaikan atau menyejukkan suasana. Mari kita bersatu kerana tanggungjawab kita lebih besar,” katanya, menurut laporan Bernama.