
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menafikan laporan sebuah portal yang memetik beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan majoriti.
“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan. Berita tersebut adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, tersebar berita kononnya dilapor sebuah portal dalam satu laporan bertajuk “Perdana Menteri terima surat Speaker maklum tiada majoriti, mahu bubar Parlimen” yang memetik Azhar sebagai berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin.
Sementara itu, terbaharu editorial portal Suara.TV menafikan pernah mengeluarkan artikel terbabit seperti yang tular di aplikasi Whatsapp dan media sosial yang lain.
“Adalah dinyatakan, artikel yang tular menggunakan logo Suara.TV adalah palsu dan berniat jahat.” kata Suara TV.
Krisis politik timbul apabila, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin hilang majoriti apabila Ahli Parlimen Umno yang “angkanya mencukupi” menarik balik sokongan.