
PETALING JAYA: Dua puluh empat kumpulan masyarakat sivil meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melayan semua Ahli Parlimen secara adil dengan memastikan mereka semua mendapat peruntukan sama rata untuk kawasan masing-masing.
Menurut mereka, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan sama rata dengan Ahli Parlimen parti pemerintah.
“Kerajaan Perikatan Nasional meneruskan peruntukan Ahli Parlimen yang tidak sama rata, tetapi Ahli Parlimen Pakatan Harapan membidas perbuatan tersebut.
“Kami berpendapat bahawa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang harus menerima peruntukan yang sama, dan pengundi tidak harus dihukum kerana menyokong parti politik yang berlainan.
“Perdana Menteri baharu harus mengagih peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya mereka menggunakannya dengan baik dalam usaha membantu memerangi pandemik Covid-19 dan membantu rakyat yang menganggur atau pendapatannya terjejas,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Kumpulan itu berkata, pentadbiran kerajaan harus merangkumi prinsip demokrasi, atau sebaliknya bakal dihukum oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu hari ini, Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan Isnin lalu.
Selain menggesa pembiayaan secara saksama, 24 kumpulan itu turut menggesa pentadbiran yang akan datang membatalkan semua Ordinan Darurat diwujudkan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.
“Hanya setelah habis tempoh enam bulan selepas darurat tidak berkuat kuasa, ordinan itu tidak lagi sah dan terhenti secara automatik.
“Kami menyeru Perdana Menteri baharu mengemukakan usul untuk membahaskan dan membatalkan Ordinan-ordinan Darurat pada sidang Parlimen September depan,” kata mereka.
Mereka turut mendesak kerajaan yang bakal dilantik Ismail supaya menguatkuasakan Undi18, pindaan pendaftaran pengundi automatik selain memberi maklumat secara telus mengenai perang terhadap Covid-19.
Ia turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), selain meningkatkan peralatan perubatan dan kemudahan mencukupi, termasuk membina unit rawatan rapi dan hospital sementara untuk pesakit Covid-19.
“Usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi (patut menjadi) tumpuan keutamaan Perdana Menteri ke-9 yang baharu.
“Agenda seperti pembaharuan institusi harus dilaksanakan selepas pandemik berakhir,” kata kumpulan itu.