
Sehubungan itu katanya, SOP dalam Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 harus diubah agar kejadian kebakaran yang mengorbankan empat sekeluarga di Penampang, Selasa lalu, tidak berulang.
“Sepatutnya apabila tahu panggilan adalah dari Sabah dan ada kecemasan, kenapa tidak terus sambung ke pihak yang berkaitan seperti balai bomba di daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.
“Tidak perlulah tanya banyak soalan kerana setiap panggilan ke MERS 999 sudah pasti membabitkan hal kecemasan. Kita kena peka dengan situasi dan dalam keadaan kecemasan sudah pasti panik berlaku dan tiada masa untuk memberi semua maklumat yang diperlukan.
“Saya berharap SOP dalam MERS 999 diubah dan dipermudahkan termasuk terus sambung panggilan itu ke nombor atau daerah dan negeri yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Hajiji mengulas kejadian awal pagi Selasa lalu yang menyaksikan empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Hungab, Penampang.
Mangsa yang terkorban adalah suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak lelaki mereka, Brandon, 18, dan Eric, 15.
Kejadian itu menjadi perhatian selepas beberapa pihak mendakwa respons bomba terhadap kebakaran itu lambat apabila pihak yang menghubungi MERS 999 dirujuk terlebih dahulu ke Kuala Lumpur selain ditanya banyak soalan.
Dalam pada itu, Hajiji turut meminta orang awam menyimpan nombor telefon penting seperti balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing untuk memudahkan mereka meminta bantuan dalam keadaan kecemasan.
“Selain MERS 999, simpanlah juga nombor balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing,” katanya.