
PETALING JAYA: Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60% remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang- kurangnya satu dos vaksin pada November.
Manakala itu, 80% remaja bakal mendapat dos lengkap vaksin sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.
Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan CITF-A ditugaskan untuk membuat penetapan dasar dan menyelaraskan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja.
“CITF-A akan memastikan sasaran ini dapat dicapai dan kerjasama daripada semua agensi diperlukan,” menurut kenyataan.
Dalam pada itu, CITF-A berkata, keutamaan akan diberikan kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam serta mempunyai komorbiditi (menghidap lebih daripada dua penyakit).
Katanya, program ini juga menyasarkan pelajar di sektor pendidikan swasta, institusi perlindungan dan pemulihan serta remaja dalam komuniti terpinggir seperti gelandangan, pelarian dan bukan warganegara.
Sebagai langkah awal katanya, KKM sudah membangunkan portal pendaftaran institusi, iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku.
“Semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.
“Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga remaja disaran mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera.
“Proses ini bagi membolehkan remaja mendapatkan sijil vaksinasi digital MySejahtera masing-masing.”
Menurutnya, vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer Bio-NTech) akan digunakan untuk program ini dengan setiap remaja diberikan dua dos.
Proses vaksinasi akan dilakukan melalui tiga kaedah, iaitu jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual.
Pendekatan kedua khusus untuk remaja dengan komorbiditi, dengan mereka mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.
Kaedah terakhir bagi remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu bapa atau penjaga, mereka akan diberikan janji temu di klinik kesihatan swasta berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, remaja di Sabah akan mendapat vaksinasi mereka mulai esok.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dalam kenyataan barkata, perkara itu sudah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Ini juga sejajar pendirian KKM untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin kanak-kanak menjelang pembukaan semula sekolah pada 3 Okt ini.
Sarawak ialah negeri pertama memulakan vaksinasi untuk remaja pada 8 Sept lalu, bermula dengan mereka yang berusia 16 dan 17 tahun menjelang sekolah dibuka semula bulan depan.
Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, ia adalah peringkat pertama sebelum fasa seterusnya membabitkan remaja berusia 12 hingga 15 tahun.