
KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan beberapa daerah di Sabah dilanda banjir.
Ia kejadian kedua dalam tempoh seminggu selepas beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu dan Penampang terjejas akibat bencana alam itu.
Beberapa laluan tumpuan di sekitar ibu negeri dan Penampang juga turut ditenggelami air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Antara jalan yang ditenggelami banjir kilat termasuk di Kolombong, Inanam, Bundusan, Manggatal, Kibabaig, Kolopis dan beberapa lagi laluan lain.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah ketika dihubungi berkata, Kampung Sugud di Penampang juga telah dinaiki air.
“Selain Kota Kinabalu dan Penampang, turut dilanda banjir ialah beberapa kawasan di Kota Belud dan Sipitang di mana sejumlah kampung telah terjejas.
“Di Kota Belud, sebanyak 39 kampung terlibat manakala di Sipitang sebanyak 10 kampung terjejas akibat banjir dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah mula dibuka,” katanya.