
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang disyaki dalam keadaan khayal selepas menghidu gam diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di atas sebuah jambatan di Beaufort pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun tersebut dipercayai memanjat jambatan berkenaan sebelum terperangkap pada ketinggian kira-kira 6 meter.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, mereka menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 10.44 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terperangkap di atas jambatan itu kerana tidak dapat turun.
“Anggota bomba seterusnya menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tangga dan dia berjaya diturunkan dengan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi.