
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima lebih 2,000 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan kewangan dalam tempoh dari Januari hingga September.
Bercakap di InvestSmart® Fest 2021, Pengerusi Eksekutifnya Syed Zaid Albar berkata, aduan dan pertanyaan penipuan kewangan serta urusan membabitkan perancang kewangan tidak berlesen yang diterima meningkat lebih dua kali ganda tahun ini.
“Penipuan ini biasanya menjanjikan pulangan tinggi sama ada mempunyai risiko yang kecil atau tanpa risiko dan semuanya dipromosikan menerusi media sosial. Ia meminta bayaran dibuat kepada akaun bank tertentu.
“Saya menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan skim pelaburan seperti itu kerana anda tidak sepatutnya melakukan transaksi ke mana-mana akaun simpanan peribadi,” katanya.
Menurut Syed Zaid, terdapat sebanyak 202 kemasukan baharu yang dibuat ke dalam senarai Peringatan Pelabur SC pada tahun ini, berbanding 134 sepanjang tahun lalu.
Katanya, sebanyak 97 laman sesawang telah disekat bersama tujuh akaun Facebook.
“Terdapat juga peningkatan dalam aktiviti membabitkan perancang kewangan yang tidak mempunyai lesen berdaftar dengan SC,” katanya.
“Pelabur perlu sedar bahawa melabur dalam pertukaran yang tidak berpusat tanpa kebenaran daripada SC adalah tidak dilindungi dan boleh terdedah kepada pengubahan wang dan penipuan.
“Sehingga 30 Sept, SC menambah 38 operator ke dalam senarai peringatan itu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen. Kita juga mengarahkan 29 daripada entiti dan individu ini berhenti daripada melakukan aktiviti itu.”
Syed Zaid berkata, pelabur perlu berhati-hati kerana individu terbabit mungkin terlibat dalam skim manipulasi pasaran.
Katanya, penting bagi bakal pelabur melengkapkan diri dengan ilmu sepatutnya terutamanya ketika waktu pandemik ini apabila ada yang cuba mengambil kesempatan.
“Walaupun dalam tempoh mencabar, ia masih belum terlewat untuk mula membuat perancangan kewangan untuk masa depan. Anda hanya perlu tahu apa yang boleh dilakukan serta cari petunjuknya dan kunci utamanya ialah persediaan,” katanya.