
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu iaitu Kampung Bawan di Beaufort dikategorikan sebagai kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah klinik kerajaan.
Katanya, kes indeks bagi kluster itu adalah petugas kesihatan lelaki berusia 31 tahun yang tinggal di kuarters kerajaan bersama rakan setugasnya dan hanya bertugas apabila dipanggil.
“Penularan jangkitan bagi kluster ini dipercayai berpunca daripada aktiviti makan-makan di rumah keluarga kes indeks di Kampung Bawan seminggu sebelum dikesan positif.
“Kes indeks disahkan positif melalui ujian RTK Ag pada 7 Okt di Klinik Kesihatan Membakut selepas mengalami demam dan batuk sejak 4 Okt.
“Bermula 7 Okt hingga hari ini, sebanyak 34 kes dicatatkan termasuk dua kes baharu hasil saringan ke atas 51 kontak dan majoriti kes positif adalah membabitkan ahli keluarga serta rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.
Masidi berkata, satu lagi kluster baharu yang direkodkan hari ini iaitu Kampung Batu 66 yang juga berlaku di Beaufort adalah kluster komuniti yang dipercayai berpunca daripada kenduri kematian.
Katanya, kes indeks adalah wanita tempatan berusia 36 tahun yang disahkan positif melalui ujian PCR pada 8 Okt di Hospital Beaufort selepas bergejala
sejak 6 Okt.
“Hasil penelitian, penularan jangkitan dipercayai berpunca daripada kenduri kematian mendiang ayah kepada kes indeks yang ke-40 hari pada 4 Okt di Kampung Batu 66 dan dihadiri oleh keluarga serta jiran terdekat.
“Selain itu, majlis pengebumian pada 11 Okt yang juga dipercayai menyumbang
kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti.
“Majoriti kes positif membabitkan ahli keluarga serta tetamu dari sekitar Mukim Montenior dan bermula 8 Okt sehingga hari ini, sebanyak 29 kes termasuk dua kes baharu dikesan daripada 36 kontak yang telah disaring,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, sebanyak 651 lagi kes baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 212,329 kes.
Katanya, sebanyak 16 kes kematian juga dilaporkan, hari ini, iaitu enam kes di Tawau, dua kes di Lahad Datu manakala Semporna, Ranau, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Keningau, Beluran, Tuaran dan Tenom masing-masing mencatatkan satu kes.
“Bagaimanapun, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya.