
PETALING JAYA: Seorang jurutera yang memandu melawan arus, mengakibatkan kemalangan dengan dua kereta di mana seorang pemandu lain cedera, ditahan di KM26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, melalui ujian yang dijalankan di Balai Polis Trafik Port Dickson, lelaki berusia 29 tahun itu didapati berada bawah pengaruh alkohol.
Kemalangan itu melibatkan tiga kereta, iaitu Ford Ranger yang dipandu suspek dan masing-masing sebuah Proton Saga dan Toyota Vios.
Aidi Sham berkata, dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, suspek memandu melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.
“Suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan, iaitu patah paha kaki kanan,” katanya, menurut laporan Bernama.
Pemandu Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Kata Aidi Sham, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42(1) APJ 1987.