Bajet 2022 gagal bentang strategi tangani krisis kewangan, kata Tony Pua

Bajet 2022 gagal bentang strategi tangani krisis kewangan, kata Tony Pua

Pemimpin DAP itu berkata negara akan menghadapi 'krisis bajet' dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Tony Pua mendakwa, keterlanjuran kerajaan di masa lalu dalam berbelanja untuk projek membazir kini memberi tekanan kepada kewangan kerajaan.
PETALING JAYA:
Bajet 2022 yang dibentangkan hari ini gagal menyatakan strategi kerajaan dalam menghadapi krisis kewangan, kata pemimpin DAP Tony Pua.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata, hakikatnya negara akan menghadapi “krisis bajet’ dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Bajet 2022 gagal menangani isu ini baik dari segi membentangkan strategi mahupun mengusulkan apa-apa langkah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sendiri meramalkan ia akan kekurangan dana untuk melabur, berbelanja mahupun mengemudi hala tuju ekonomi negara pada masa depan.

Keadaan itu diburukkan dengan perbelanjaan tetap yang meningkat setiap tahun, termasuk pembayaran emolumen dan pencen dalam sektor awam serta membayar balik hutang kerajaan.

Pua berkata, emolumen dan caj persaraan merangkumi 45.5% daripada peruntukan perbelanjaan mengurus pada 2018 tetapi akan meningkat kepada 49% tahun depan.

Beliau mendakwa, keterlanjuran kerajaan di masa lalu dalam berbelanja untuk projek membazir kini memberi tekanan kepada kewangan kerajaan.

Katanya, Bajet 2022 telah mengguna pakai beberapa cadangan dan pendekatan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kebimbangan utama pembangkang, menurut beliau, berkisar kepada risiko masa depan negara jika tidak ada langkah berkesan diambil dari sekarang.

“Adalah amat kritikal untuk Kementerian Kewangan menyatakan bagaimana ia akan menangani krisis mendatang kerana langkah tertentu mesti diambil dari sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.