
KUALA LUMPUR: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung atas dakwaan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah mendapati mereka bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.
“Mahkamah berpuas hati bahawa enam tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas si mati (Zulfarhan).
“Bagaimanapun pendakwaan gagal membuktikan niat dalam dakwaan bunuh yang dikemukakan terhadap mereka,” katanya.
Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri pada awalnya dibicarakan atas tuduhan membunuh Zulfarhan.
Manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali, pula sebelum ini didakwa atas tuduhan bersubahat membunuh.
Mereka dituduh menyebabkan kematian Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.
Sementara itu, 12 lagi penuntut UPNM yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba, turut didapati bersalah atas dakwaan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.
Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, pihak pembelaan memerlukan masa untuk melakukan mitigasi terhadap hukuman itu dan mahkamah ditangguhkan bagi membolehkan peguam menyediakan hujah mereka.
Kesalahan di bawah Seksyen 304(a) membawa hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun dan denda.
Perbicaraan bermula pada 29 Jan 2018 dengan pendakwaan mengemukakan 31 saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang juga penuntut UPNM, yang memberi keterangan telah melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 tertuduh yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.