
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menyegerakan pembangunan kerangka dan Indek Daya Huni model Malaysia dalam usaha memberi keutamaan memperkasakan agenda Malaysia Berdaya Huni.
Menterinya, Reezal Merican Naina Merican berkata, jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia atau MURNInets yang dibangunkan PLANMalaysia boleh menjadi kerangka teras Indeks Daya Huni Malaysia.
Justeru, katanya perancang bandar di negara ini memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda perancangan bandar bersifat daya tahan pandemik, mengambil kira aspek pengurusan risiko bencana (DRM).
Reezal dalam ucapannya pada sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik Covid-19 telah membuka keperluan kepada perancang bandar agar tidak hanya tertumpu kepada aspek struktural dan pembangunan infra semata-mata.
“Pandemik Covid-19 membuka keperluan penting perancangan bandar untuk melihat aspek kemakmuran, mobiliti, daya tahan ekonomi dan mitigasi kemungkinan berlakunya kawasan bandar sebagai ‘epi-centres’ merebaknya sebarang wabak pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, dalam suasana pasca pandemik, elemen “urban-resiliency” (daya tahan perbandaran) dalam aspek perumahan dan ruang awam, wajar dijadikan keutamaan.
Sementara itu, mengenai Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4), Reezal berkata, beliau akan terus mendokong aspirasi pembangunan tiga RFN terdahulu dalam membentuk satu pelan pembangunan yang menyeluruh.
Katanya, RFN4 memberi penekanan kepada aspek perancangan keselamatan negara, peningkatan infrastruktur digital, pembangunan bercirikan pintar.
Ia sekaligus mampu menjadikan Malaysia ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya huni.
RFN dikaji setiap lima tahun bagi memastikan kesesuaian RFN selaras perubahan pesat persekitaran fizikal, ekonomi, sosial dan alam semulajadi. RFN1 dilancarkan pada 2005, RFN2 pada 2010, dan RFN3 pada 2016.