
KOTA KINABALU: Beberapa pertubuhan masyarakat sivil Sarawak menyenaraikan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dilaksanakan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, termasuk membenarkan ceramah dan lawatan rumah ke rumah.
Menurut mereka, perhimpunan politik dan lawatan ke rumah patut dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, dan terpakai tidak kira sama ada di bandar, rumah panjang luar bandar atau ruai, dengan semua yang berucap atau menghadiri acara diwajibkan memakai pelitup muka.
Walaupun mengakui peraturan dan SOP tertentu perlu dilaksanakan untuk kempen secara fizikal demi keselamatan awam, pertubuhan berkenaan menganggap “langkah tidak wajar” tidak patut dikenakan sehingga menyekat semua parti politik dan calon daripada berpeluang menemui pengundi dalam persekitaran selamat.
Mereka juga mahukan semua parti politik diberi akses secara adil dan saksama terhadap kaedah alternatif dalam menyampaikan manifesto serta memperkenalkan calon masing-masing. Ini termasuk menerusi rangkaian televisyen dan radio milik negeri.
“Tidak adil jika SPR dan kerajaan persekutuan membenarkan kerajaan negeri sementara di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat akses kepada pengundi menerusi rangkaian TV Sarawak di Astro Awani, manakala parti lain dinafikan akses siaran di media.
“Ini akan menyekat hak pengundi untuk membuat keputusan termaklum berdasarkan maklumat diperolehi daripada parti dan calon yang bertanding. Adalah penting untuk semua parti politik yang bertanding menyampaikan manifesto, calon dan dasar mereka secara adil dan saksama,” kata mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh 17 pertubuhan termasuk Bersih Sarawak, Persatuan Dayak Iban Sarawak, dan Terabai Kenyalang Heritage Association of Sarawak.
Pengerusi Bersih Sarawak Ann Teo menyerahkan memorandum mengandungi cadangan berkenaan kepada Pengarah SPR negeri, Jasni Jubli hari ini.
Kumpulan berkenaan turut mencadangkan perbahasan antara calon Ketua Menteri atau pemimpin parti disiarkan di rangkaian televisyen serta radio negeri sekurang-kurangnya dua kali, iaitu sekali selepas penamaan calon dan sekali lagi dua hari sebelum hari pengundian.
“SPR dan kerajaan persekutuan perlu mengarahkan media swasta dan bebas memainkan peranan lebih penting ketika PRN ini dengan menganjurkan panel diskusi untuk calon dari semua parti.
“Syarikat telekomunikasi juga perlu diarahkan memainkan peranan lebih konstruktif dengan memberikan nombor telefon bimbit didaftarkan di Sarawak penggunaan data tanpa had sepanjang tempoh kempen pilihan raya. Ini bagi memudahkan pengongsian dan penerimaan siaran berkaitan kempen oleh parti politik serta calon secara dalam talian dan di platform media sosial,” kata kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan turut mendesak SPR memudahkan pengundi Sarawak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung serta Sabah kerana disifatkan mempunyai tanggungjawab dari segi Perlembagaan untuk memastikan urusan mengundi untuk kira-kira 250,000 golongan berkenaan.
“SPR patut membenarkan undi pos dilanjutkan untuk kategori pengundi berkenaan selaras Peraturan 3 (1)(e) Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, atau laksanakan undi awal khas.
“Jika pengundi yang tinggal dan bekerja di Singapura serta Brunei dibenarkan mengundi secara pos ketika PRN Melaka dan pemilihan di Sarawak kelak, maka pengundi di Semenanjung dan Sabah juga wajar diberikan akses sama.”