
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan kesal dengan pengesahan Putrajaya bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti petroleum kepada negeri itu.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Kelantan dan negeri lain di Semenanjung tidak dibayar royalti kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi di luar perairan negeri terbabit.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan Zafrul itu “cukup mengejutkan”, seperti dilaporkan Harakahdaily.
“Saya secara peribadi terkejut dengan kenyataan terbabit memandangkan kerajaan negeri (selama ini) mengharapkan bayaran royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan.
“Kita amat mengharapkan kerajaan pusat memberi royalti petroleum kepada Kelantan selari dengan perjanjian 1975,” katanya, merujuk kepada perjanjian petroleum antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Zafrul berkata, Petronas hanya membuat bayaran dalam bentuk wang ihsan.
“Memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan Kelantan, maka kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Royalti Kelantan, sebuah badan bukan kerajaan, berkata, rakyat negeri itu amat “terkejut, marah dan kecewa” dengan pendirian Zafrul itu.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati perjanjian petroleum yang diikat dengan Kelantan.
“Kelantan, bersama seluruh negeri di Malaysia bersetuju menyerahkan hak pembangunan petroleum kepada Petronas dan sebagai balasan, perjanjian tersebut memperuntukkan bayaran sebanyak 5% daripada jumlah pengeluaran petroleum kepada Kelantan.
“Petronas dan kerajaan persekutuan wajib menghormati perjanjian tersebut, katanya.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan oleh rakyat dan kerajaan Kelantan, namun hasilnya masih tidak ada berikutan sikap tidak profesional kerajaan persekutuan.
Isu royalti petroleum sekian lama diperjuangkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan.
Meskipun PAS menyertai kerajaan persekutuan sejak Mac tahun lalu, isu royalti petroleum terus menjadi “duri” dalam hubungan Putrajaya dengan kerajaan Kelantan.