
PETALING JAYA: Bayangkan sebuah dunia di mana semuanya berhubung – kereta dengan pemandu, doktor dengan peranti perubatan – dan muat turun boleh dilakukan secara pantas.
Itulah yang akan dibawa oleh rangkaian 5G sebaik dilaksanakan nanti, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah kuasa digital yang padu.
Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM) Imri Mokhtar, berkata ketika negara beralih ke fasa pemulihan dan trajektori menaik, ia adalah jelas bagaimana teknologi sesuai dalam seluruh ekosistem pada hari ini.
“Sejak dilanda pandemik, seluruh masyarakat menyaksikan bagaimana teknologi berupaya mengurangkan cabaran yang dihadapi. Kita memerlukan keterhubungan digital untuk mempunyai asas itu, sama ada rangkaian fiber atau mudah alih ketika kita beralih kepada 5G,” katanya kepada FMT.
Imri berkata TM telah bersedia untuk menyokong pelaksanaannya yang disasarkan bulan depan di mana ia akan memberi manfaat kepada usahawan mikro di luar bandar dan pengguna baru di zon bandar.
Menerusi pelaksanaan 5G, tidak ada siapa yang akan ketinggalan dan ia juga akan merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Baru-baru ini, saya berada di sebuah kafe internet di Pahang di mana TM bekerjasama dengan kerajaan untuk menyediakan akses internet. Saya bertemu dengan seorang penanam cendawan yang memberitahu, dia berupaya menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil daripada tanamannya.
“Bagaimanapun, menerusi pusat keterhubungan dan latihan e-dagang, pendapatannya bulan lalu melonjak kepada RM34,000.”
Imri berkata TM akan memainkan peranan penting kerana ia dilihat dapat membawa penyelesaian kepada semua rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan akan datang memerlukan elemen peralatan 5G seperti menara, gentian hadapan atau belakang yang menghubungkan menara itu.
“Seperti yang dilihat dalam pasaran di negara lain, ia mempunyai banyak manfaat. Ini termasuk strim video berdefinisi tinggi, pengalaman realiti secara maya yang lebih mendalam dan akses permainan awan yang lebih pantas.
“Bagi perniagaan, rangkaian akan dikhususkan di lokasi tertentu sebagai contoh, untuk pengeluaran, lapangan terbang dan pelabuhan laut,” katanya.
Pelaburan berkaitan rangkaian 5G tidak begitu ketara sekiranya TM perlu melakukannya sendiri.
“Setiap tahun, kami memperuntukkan jumlah tertentu untuk perbelanjaan modal bagi infrastruktur. Tahun ini, kami akan melaburkan sekitar 14% dan 18% daripada hasil yang merangkumi pelbagai elemen sama ada fiber, awan atau mudah alih,” katanya.
Tambah Imri, cabaran yang dihadapi kini telah menjadi satu peluang selepas syarikat telekomunikasi negara terpaksa bergelut sepanjang pandemik disebabkan kekurangan bahan bekalan.
“Perkara ini telah pun diselesaikan. Keterhubungan telah menjadi satu agenda besar jadi pelaksanaan rangkaian 5G ini adalah tepat pada masanya.
“Apa yang penting ialah langkah untuk meningkatkan kemahiran modal insan sama ada menerusi kerjasama swasta atau awam.”
Imri juga telah bersedia untuk menghadiri persidangan 5G Tech 2021 yang diadakan bermula 30 Nov hingga 2 Dis.
“Ini adalah peluang besar untuk kami mengambil bahagian dengan mereka yang berfikiran sama. Kita boleh menyelaraskan rancangan dan program kami untuk memacu negara ke aras lebih tinggi lagi.
“Ini juga akan menjadi landasan terbaik untuk mewujudkan kesedaran, kerjasama kukuh dan persahabatan antara satu sama lain,” katanya.