
PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris memulangkan paku buah keras terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung kenyataannya bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang jatuh secara rasmi ke status kemelesetan ekonomi teknikal ketika era Muhyiddin Yassin.
Dalam status dimuat naik menerusi Facebooknya, Razali mempersoalkan kerelevanan kenyataan Najib yang seolah-olah membayangkan hanya Malaysia mengalami situasi itu selepas mencatatkan penguncupan dua suku tahunan berturut-turut.
“Kekadang kalau kita hendak berbicara, kena pandang kiri dan kanan, atas dan bawah. Walaupun disajikan dengan fakta, apakah ia selari dengan keadaan sebenar atau situasi realiti?
“Apabila kita tengok Najib (Razak) menyajikan ekonomi meleset terutama pada waktu Muhyiddin, apakah…Malaysia sahaja ke yang mengalami ekonomi yang sangat teruk?” tulis beliau.
Beliau turut mempertikai kenyataan Najib dengan menyoal sama ada pandemik Covid-19 hanya melanda Malaysia manakala negara lain tidak berdepan situasi itu.
“Kekadang nampak macam pandai tetapi tidak bijak. Apa cerita 1MDB (1Malaysia Development Berhad)? Kerana 1MDB, rosak reputasi dan imej negara. Punca ekonomi teruk bermula dari 1MDB,” katanya.
Razali juga memaklumkan, tindakan pertama dilakukan ketika era Muhyiddin ialah melantik pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi.
“Kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaan.
“Secara realiti, pelaksanaan PKP merupakan ancaman ekonomi paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan. Ia merupakan cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah dihadapi oleh semua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.”
Beliau berkata, krisis ekonomi akibat Covid-19 jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi pada era 1980-an.
“Bagaimanapun, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Muhyiddin) untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Najib menerusi Facebooknya berkata, semua negara jiran sudah selesai melaporkan kadar pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga tahun 2021.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Malaysia juga paling teruk dari kadar pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi suku ketiga 2021 antara semua negara jiran.