
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membenarkan perintah certiorari yang dimohon oleh sebuah syarikat dan lima individu untuk membatalkan kebenaran diberikan oleh bekas Peguam Negara kepada dua individu untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung sebahagian daripada harta amanah yang dikurniakan oleh Ratu Victoria pada 1845 kepada komuniti Siam dan Burma di Pulau Pinang.
Pesuruhjaya Kehakiman, George Varughese berkata, Nai Ninn Sararaksh dan Ho Choon Teik tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memfailkan saman pemula terhadap enam defendan bagi mencabar tindakan Amanah Burma Pulau Pinang kerana mereka bukan berketurunan Burma.
Kedua-duanya adalah rakyat Malaysia tetapi Nai berketurunan Thai manakala Ho berbangsa Cina.
Hakim juga membenarkan deklarasi bahawa Amanah Burma Pulau Pinang adalah badan persendirian sah yang menjaga kepentingan komuniti Burma di negeri itu.
Varughese berkata, Mohamed Apandi Ali, yang menjadi Peguam Negara antara Julai 2015 dan Mei 2018, hanya mempertimbangkan representasi yang dibuat Nai dan Ho, tetapi gagal mengambil kira representasi oleh enam pihak itu, terutama mengenai mengapa Amanah Burma Pulau Pinang merupakan badan persendirian.
Enam pihak itu adalah Five Star Heritage Sdn Bhd, serta individu berketurunan Burma, Toon Toolseram, Maung Aung Thou, Moong Bam, Moung Ban Chowi dan Maung Shwe Winn.
Varughese berkata, Apandi tidak menggunakan kuasanya bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan dengan betul ketika membuat keputusan, justeru penggunaan budi bicaranya tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Saya dapati Peguam Negara salah arah dalam undang-undang dan gagal mempertimbangkan hal berkaitan serta bertindak secara tidak wajar,” katanya dalam penghakiman 59 halaman yang dikeluarkan minggu lalu.
Beliau menyampaikan keputusan lisannya pada September dan Peguam Negara, Nai dan Ho kemudian memfailkan rayuan.
Varughese turut menyatakan dalam penghakimannya bahawa Amanah Burma Pulau Pinang menjadi badan persendirian menurut perjanjian antara pemegang amanah Thai dan Burma.
Perintah Mahkamah Tinggi pada 1994 membenarkan penubuhan amanah berasingan untuk komuniti Thai dan Burma dan pembahagian sebidang tanah (Lot 104) yang menamatkan Amanah Thai-Burma yang asal.
Pada 1845, Syarikat Hindia Timur, bagi pihak Ratu Victoria dari United Kingdom, menubuhkan badan amanah awam untuk menguruskan hal ehwal kuil penduduk Siam (Thai) dan Burma di pulau itu.
Syarikat itu memperoleh Pulau Pinang pada 1786 dan menubuhkan sebuah pos perdagangan selepas Sultan Kedah menyerahkan pulau itu untuk memastikan perlindungan daripada ancaman oleh jirannya, Siam dan Burma.
Sebidang tanah – kini di Lot 104, Seksyen 4, Bandar Georgetown, Daerah Timur Laut – diasingkan kepada kedua-dua komuniti.
Pada November 1994, pemegang amanah kedua-dua komuniti itu membuat permohonan bersama untuk membahagikan lot berkenaan kepada Lot 2102 dan 2103, menyebabkan penubuhan dan pentadbiran dua badan amanah berasingan bagi komuniti Thai dan Burma.
Memandangkan badan amanah itu tidak mendapat hasil disebabkan latar belakang sejarahnya, ia memeterai perjanjian usaha sama dengan Airmas Development Sdn Bhd dan menubuhkan Five Star Heritage sebagai jentera korporatnya untuk membangunkan sebahagian daripada Lot 2103, yang dibahagikan lagi kepada Lot 10029 dan 10030.
Lot 10029 didaftarkan bawah Five Star Heritage, manakala Lot 10030 atas nama Toon, Maung Aung Thou, Moong, Moung dan Maung Shwe Winn.
Pada 2014, Nai dan Ho memfailkan saman pemula untuk mencabar perintah mahkamah pada 1994 dengan mengatakan pecah bahagi plot 10029 untuk tujuan komersial tidak boleh dilakukan kerana harta itu adalah milik amanah amal awam.
Mereka menulis kepada Apandi pada Mei 2016 bagi mendapatkan persetujuan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Amanah Burma Pulau Pinang kerana bawah Akta Prosiding Kerajaan beliau adalah penjaga semua amanah awam.
Keenam-enam pihak itu kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusannya memberikan persetujuan itu.