Hanya sebilangan kecil pengembara guna VTL Malaysia-Singapura

Hanya sebilangan kecil pengembara guna VTL Malaysia-Singapura

Menurut laporan The Straits Times Singapura dalam tempoh lima hari pertama hanya lebih 5,000 individu menggunakan perkhidmatan VTL darat.

VTL memperuntukan kuota 2,880 sehari dengan 1,440 individu sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak ke setiap arah.
PETALING JAYA:
Hanya sebilangan kecil pengembara menggunakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura berbanding kuota dibenarkan.

VTL memperuntukan kuota 2,880 sehari, dengan 1,440 individu sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak ke setiap arah.

Dalam tempoh lima hari pertama selepas langkah sekatan sempadan itu dilonggarkan hanya lebih 5,000 individu menggunakan perkhidmatan VTL darat, lapor The Straits Times (ST) Singapura.

Seramai 2,771 orang lagi memasuki Singapura dari Malaysia melalui VTL udara dalam tempoh yang sama.

Peraturan itu dilonggarkan pada 29 Nov bagi mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya sekali gus membolehkan banyak keluarga bersatu semula buat kali pertama sejak sempadan ditutup pada Mac tahun lalu.

ST melaporkan bahawa sejumlah 4,343 orang meninggalkan Singapura untuk ke Malaysia menggunakan VTL udara setakat 3 petang Jumaat atau hanya kira-kira 60% daripada jumlah yang dibenarkan.

Laporan ST menyebut, kemasukan ke Singapura melalui Tambak Johor jauh lebih rendah, iaitu dengan hanya 690 individu melakukan perjalanan setakat 3 petang pada Jumaat atau hanya kira-kira 9.5% daripada jumlah yang dibenarkan.

Hanya warganegara, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuki sahaja boleh melakukan perjalanan di bawah fasa pertama VTL darat yang beroperasi dengan perkhidmatan bas yang ditetapkan.

Pengembara tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan. Sebaliknya, mereka perlu menjalani dua ujian Covid-19 sebelum memasuki Malaysia atau Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.