Azmin nafi dakwaan bawa keluarga ke London guna dana MITI

Azmin nafi dakwaan bawa keluarga ke London guna dana MITI

Ia susulan pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer jika menteri itu membawa keluarga ke London semasa lawatan MITI Oktober lalu menggunakan dana kementeriannya.

Mohamed Azmin Ali (empat dari kiri) dan Pegawai Kanan MITI dalam misi perdagangan ke Eropah pada Oktober lalu.(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau membawa keluarga ke London pada Oktober lalu menggunakan dana kementeriannya.

Beliau berkata, setiap misi perdagangan MITI mematuhi peraturan dan prosedur.

“Sebelum misi perdagangan ini diluluskan, ia mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet.

“Setiap perincian, senarai delegasi, jumlah peruntukan, perbelanjaan dan destinasi itu semua diperincikan dan telah diluluskan Jemaah Kabinet mengikut peraturan dan tatacara kewangan.

“Saya menafikan tuduhan Jelutong (RSN Rayer),” katanya pada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi MITI di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bertanyakan Azmin jika benar beliau membawa keluarga ke London semasa lawatan MITI pada Oktober lalu menggunakan dana kementeriannya.

“Saya cuma minta penjelasan, sama ada dalam rombongan lawatan ke London pada Oktober, adakah benar menteri membawa ahli keluarga.

“Saya telah tanya dalam perbahasan saya, kalau kementerian tak belanjakan wang, beritahu kementerian tidak belanjakan wang. Kita belum dengar penjelasan menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.