Mahkamah perintah permohonan Najib kemuka keterangan baharu didengar hari ini

Mahkamah perintah permohonan Najib kemuka keterangan baharu didengar hari ini

Pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil berkata, keputusan sewajarnya akan dibuat kemudian jika perintah itu tidak dipatuhi.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak merayu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan CBT membabitkan dana SRC International.
PUTRAJAYA:
Permohonan Najib Razak untuk mengemukakan keterangan baharu dalam usaha mengetepikan sabitan kes rasuah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta akan diteruskan pada 12.30 tengah hari ini, walaupun peguamnya memohon prosiding ditangguhkan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil berkata, prosiding akan dijalankan secara dalam talian seperti yang diperuntukkan bawah Akta Mahkamah Kehakiman.

“Pihak-pihak akan diberi masa lebih kurang satu jam untuk membuat penghujahan,” kata Karim, yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Beliau tidak mahu mendengar sebarang alasan katanya, dan akan membuat keputusan sewajarnya kemudian jika perintah itu tidak dipatuhi.

Peguam Harvinder Singh Sidhu sebelum ini berhujah agar prosiding hari ini ditangguhkan ke tarikh lain kerana salah seorang peguam dalam pasukan undang-undang Najib dijangkiti Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir di mahkamah dan penjamin beliau, iaitu Alias Yahya dan Faizal Shamsuddin tiba ketika prosiding sedang berlangsung.

Dalam surat yang difail dan dialamatkan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan semalam yang dilihat oleh FMT, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon untuk mengosongkan tarikh perbicaraan hari ini dan esok setelah salah seorang peguam pasukan itu disahkan positif Covid-19 menerusi tiga ujian berbeza.

Ini selepas seorang lagi peguam firma itu memberitahu Harvinder dan ahli pasukan undang-undang Najib lain bahawa ibunya disahkan positif Covid-19 pada awal hari itu dan ini mendorong semua peguam di firma itu turut menjalani ujian.

Shafee berkata, status MySejahtera kesemua yang terlibat bertukar kepada kontak kasual atau rapat kerana menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian PCR.

“Berdasarkan sebab-sebab di atas, kami mempunyai tanggungjawab sosial terhadap mahkamah dan semua pihak terlibat untuk memaklumkan hal tersebut,” katanya dalam surat yang difailkan itu.

“Kami dengan rendah hati memohon pertimbangan mahkamah yang mulia untuk mengosongkan tarikh 7 Dis dan 8 Dis untuk perkara di atas,” tambahnya.

Najib merayu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana SRC International.

Pada Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah atas kesemua tujuh tuduhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.