Mahkamah tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu kes SRC

Mahkamah tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu kes SRC

Keputusan rayuan akan berlangsung 9 pagi esok menerusi Zoom.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal dalam usahanya mengemukakan keterangan baharu berhubung rayuan sabitan kes RM42 juta SRC International.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk memasukkan keterangan baharu bagi membatalkan sabitannya berhubung rayuan penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu, yang dalam jaminan berjumlah RM2 juta, diarahkan hadir di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, yang akan menyampaikan keputusan berhubung rayuannya esok, menerusi Zoom.

Karim berkata, panel hakim menolak permohonan Najib kerana beliau gagal mengemukakan keterangan baharu yang tidak dikemukakan ketika rayuan, atau yang relevan, boleh dipercayai dan keterangan baharu itu akan menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

“Selain itu, pemohon juga gagal menepati Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman, dengan keterangan baharu diperlukan untuk keadilan kes itu,” katanya yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Prosiding yang berjalan secara hibrid tengah hari tadi, turut dihadiri pasukan pendakwa raya diketuai V Sithambaram secara “ad hoc”, mengemukakan penghujahan di hadapan hakim, manakala Shafee Muhammad Abdullah mengemukakan kes bagi pihak Najib dari kediamannya.

Najib, yang berisiko dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir di mahkamah terdahulu hari ini, mengikuti pendengaran permohonan itu juga dari kediamannya, selepas panel hakim menolak penangguhan pagi tadi.

Dalam surat yang difailkan dan dialamatkan kepada pendaftar Mahkamah Rayuan semalam, Shafee memohon mengosongkan pendengaran hari ini dan esok, selepas seorang individu daripada pasukan pembelaan disahkan positif Covid-19, susulan tiga kali ujian saringan.

Ia selepas ibu kepada seorang lagi peguam Najib disahkan positif virus itu awal hari ini, menyebabkan semua peguam di firma itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Shafee berkata, status MySejahtera bagi semua yang terbabit bertukar kepada kontak kasual atau kontak rapat, sementara menunggu masa sesuai melakukan ujian PCR.

Najib merayu membatalkan sabitannya terhadap tujuh kes penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan jenayah pecah amanah berhubung dana SRC International.

Mahkamah Rayuan mendengar prosiding rayuan selama 15 hari pada April dan Mei.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM4 bilion dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC International.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib memfailkan notis usul pada 1 Dis untuk mengemukakan keterangan baharu daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki dan pegawai siasatan SRC, Rosli Hussein, atau mana-mana pihak yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit bagi menyokong rayuan berkenaan, Najib berkata, semua isu dibangkitkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak diteliti sepenuhnya dan menjadi kepentingan keadilan untuk dirinya mendapat perbicaraan adil dengan mengemukakan semua keterangan.

Beliau berkata, SPRM pada 19 Nov lalu mengesahkan RM65 juta dalam dana dikaitkan dengan 1MDB diperolehi semula daripada Cutting Edge Industries, syarikat di Singapura yang dikawal Tawfiq Ayman dan rakan perniagaannya, Samuel Goh.

Tawfiq adalah suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz.

Dalam laporan awal tahun ini, syarikat berpangkalan di Singapura, Iron Rhapsody yang dimiliki Tawfiq dan anak lelakinya, menerima RM66 juta dari syarikat dan akaun bank mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan dalang utama skandal 1MDB.

Polis Singapura dilapor memaklumkan BNM pada 2015 dan 2016 berhubung transaksi mencurigakan membabitkan syarikat milik Tawfiq, dengan dana itu datang daripada akaun dikaitkan kepada Low. Zeti ketika itu adalah Gabenor BNM.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, permohonan bekas Perdana Menteri bagi melengah-lengahkan keputusan rayuan (kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan) dengan membuka semula keseluruhan kes seperti yang dapat dilihat dalam perintah dipohon.

Katanya, Zeti ditawarkan menjadi saksi ketika Najib diarahkan membela dirinya, tetapi pihak pembelaan tidak memanggil atau menemu bual Zeti.

Budiman berkata, keterangan Zeti hanya relevan digunakan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung, bukannya rayuan kes SRC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.