Ahli Parlimen dakwa dapat jawapan berbeza berhubung pendakwaan kes bunuh diri

Ahli Parlimen dakwa dapat jawapan berbeza berhubung pendakwaan kes bunuh diri

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mendakwa mendapat jawapan yang berbeza daripada dua kementerian berkenaan data kes bunuh diri.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata jawapan berbeza yang diterima berhubung data bunuh diri itu seolah-olah cuba mengelirukan dewan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menggesa kerajaan menjelaskan kekeliruan berkenaan pendakwaan kes bunuh diri.

Beliau mendakwa mendapat jawapan yang berbeza daripada dua kementerian berkenaan kes bunuh diri.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun menerusi jawab lisan berkata, tiada pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan terhadap 411 kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan sepanjang pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Kasthuri, jawapan yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sebaliknya, apabila pada Sept lalu data menunjukkan seramai 398 individu telah didakwa dari tahun 2020 sehingga Jun tahun ini.

“Saya nak tahu siapa yang mengelirukan dewan adakah benar cubaan bunuh ini didakwa ataupun ada moratorium sebab saya dapat jawapan yang berbeza dari dua kementerian yang lain di Parlimen ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta pihak kerajaan melibatkan pembangkang dalam sesi taklimat membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) agar ada proses semak dan imbang sebelum ia dibentangkan.

“Kami bukan musuh anda kami mahukan satu Rang Undang-Undang yang baik untuk semua.

“Jangan kita dah bentangkan nampak ada kelompongan dalam RUU tersebut maka harus ditarik balik untuk buat pindaan pergi ke pejabat peguam negara, pergi sini, pergi sana maka hilang satu hari nanti,”katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.