PRN Sarawak: Ahli Bersatu bertanding di Krian, Abang Jo akui ‘kecewa’

PRN Sarawak: Ahli Bersatu bertanding di Krian, Abang Jo akui ‘kecewa’

Pengerusi GPS itu berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyatakan tindakan akan diambil terhadap Ali.

Ali Biju, penyandang kerusi Krian, akan bertanding sebagai calon bebas di situ. (Gambar Twitter)
KUCHING:
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan Ali Biju dari Bersatu untuk menjadi calon bebas di Krian.

Dalam sidang media selepas melancarkan manifesto GPS itu, beliau berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah mengatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap Ali yang juga penyandang kerusi itu.

Sebelum ini, pemimpin Bersatu menegaskan parti itu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak sebaliknya akan membantu dalam memastikan kemenangan sekutunya dalam GPS.

Bagaimanapun, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, melanggar arahan dengan tampil sebagai calon Bebas di kerusi yang dimenangi pada 2011.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan memberi amaran tindakan boleh diambil terhadap Ali.

Sementara itu, Abang Johari berkata, terlalu awal untuk menunaikan janji memberikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat kerana GPS belum mempunyai mandat.

“Saya tidak boleh memberi jawapan, tunggu selepas hari pengundian (18 Dis),” katanya.

Mengenai isu lompat parti, beliau berkata, perlembagaan persekutuan memperuntukkan kebebasan berpersatuan.

“Namun, apa yang penting bagi saya adalah integriti. Ahli politik mesti mempunyai integriti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.