
Ahli Jawatankuasa Amanah, Faiz Fadzil, berkata, menerusi pelan itu kerajaan akan membeli tanah berkaitan dan seterusnya berunding dengan pemaju.
“Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan pembangunan Kampung Baru, malah menjanjikan pampasan yang baik kepada pemilik tanah,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, modus operandi ketika ini lebih menguntungkan pihak pemaju berbanding penduduk asal Kampung Baru dan dibimbangi penduduk akan terus ditindas jika kerajaan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2040).
“Asas PIPKB 2040 ini mirip dengan pelan induk diumum kerajaan Najib Razak pada tahun 2015. Kedua-dua pelan ini mengetengahkan konsep ‘retail arrangement’ dengan pemilik tanah terpaksa berbincang terus dengan bakal pemaju,” katanya.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, ia bukan perkara mudah terutama bagi pemilik tanah yang sudah berusia dan tidak berkemahiran dalam perundingan hartanah.
“Hakikatnya, kaedah PIPKB 2040 ini boleh menyebabkan pemilik tanah di Kampung Baru menerima harga yang lebih rendah untuk tanah mereka,” katanya.
Katanya, berbeza dengan pentadbiran PH sebelum ini dengan harga tawaran pengambilan tanah ialah RM1,000 satu kaki persegi, iaitu RM850 tunai dan RM150 dalam bentuk saham.
“Alasan kerajaan bahawa pelan PH tidak dapat dilaksanakan kerana hanya mendapat persetujuan 61% pemilik tanah adalah tidak munasabah,” katanya.
Sabtu lalu, hampir 20 penduduk Kampung Sungai Baru berkumpul untuk memohon supayakerajaan campur tangan isu pampasan pengosongan unit yang didakwa ditawarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 kepada penduduk rumah flat terbabit.
Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, bagaimanapun menolak dakwaan itu sambil memaklumkan pampasan sebenar kepada penduduk terlibat projek pembangunan semula kawasan berkenaan lebih tinggi daripada nilai didakwa, iaitu kurang RM250,000.