Harga barang naik, MTUC desak kerajaan laksana gaji minimum RM1,500

Harga barang naik, MTUC desak kerajaan laksana gaji minimum RM1,500

Gesaan itu dibuat mengambil kira kenaikan kos barangan yang menyebabkan gaji minimum masa ini tidak dapat menampung kehidupan pekerja.

Kenaikan gaji minimum perlu disegerakan untuk memperlihatkan bahawa kerajaan memberi perhatian kepada isu pekerja dan usaha memartabatkan golongan pekerja, kata MTUC
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan melaksanakan gaji minimum bermula RM1,500 dengan tambahan elaun kos sara hidup (COLA) setiap bulan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, gesaan itu dibuat mengambil kira kenaikan kos barangan yang menyebabkan gaji minimum masa ini tidak dapat menampung kehidupan pekerja.

“Selaras dengan Akta Majlis Perundingan gaji negara yang memerlukan gaji minimum disemak, iaitu sekali setiap dua tahun, maka MTUC berpendirian kerajaan wajib menyemak dan menaikkan kadar gaji minimum bermula 1 Jan tahun depan.

“MTUC menuntut gaji minimum sebanyak RM1,500 dengan COLA sebanyak RM300 diberikan. Kadar ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Am MTUC,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa minggu sebelum ini, harga ayam dilaporkan naik mendadak dan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di beberapa pasar awam mendapati kenaikan sehingga 30% yang secara tidak langsung menyebabkan harganya melepasi RM10 sekilogram.

Dalam pada itu Kamarul berkata, MTUC menegaskan bahawa gaji minimum perlu diseragamkan di seluruh negara bagi memberi mesej jelas bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah tunjang kepada dasar kerajaan.

Katanya, permintaan MTUC dengan kadar tersebut masih sama sejak 2013.

“Kenaikan gaji minimum perlu disegerakan untuk memperlihatkan bahawa kerajaan amat memberi perhatian atas isu pekerja dan memartabatkan golongan pekerja.

“Kenaikan gaji akan memberi kesan kepada kenaikan penyimpanan pekerja golongan bawahan dalam KWSP…untuk kesejahteraan hari tua dan meningkatkan daya tahan kewangan selepas persaraan kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.