
Barangan itu termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada Najib, Rosmah, dua anak mereka dan lima lagi responden yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pendakwaan selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan penangguhan itu bersama afidavit sokongan pada 24 Nov lalu, dengan menamakan Najib; Rosmah; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); anak mereka Nor Ashman Razak; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Goh Gaik Ewe; Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri, Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.
Berdasarkan afidavit sokongan itu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkata pada 8 Nov lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta diwartakan itu dan tiada perintah diberikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi harta tersebut dipulangkan kepada pihak menuntut.
Menurut Harris, permohonan penangguhan tersebut dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan yang difailkan pada 16 Nov lepas.
Beliau mendakwa terdapat keadaan khas yang menyokong permohonan pemohon untuk perintah penangguhan itu antaranya status quo harta disita perlu dikekalkan sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan, bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak terutamanya pemohon yang mewakili Kerajaan Malaysia.
“Harta disita tersebut melibatkan jumlah yang besar dan merupakan dana awam, maka kepentingan awam akan dapat dipelihara dengan membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah ini.
“Sekiranya permohonan ini (penangguhan) ditolak dan pemohon berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, tiada jaminan pemohon akan memperoleh semula harta disita tersebut kerana dikhuatiri harta itu akan dilupuskan responden sebelum rayuan pemohon didengar Mahkamah Rayuan,” katanya dalam afidavit itu.
Sementara itu, Harris ketika ditemui Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini, berkata mahkamah menetapkan 14 Jan 2022 untuk kesemua responden memfailkan afidavit jawapan selain menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 17 Feb 2022.
Pada 8 Nov lepas, Hakim Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan tersebut iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang telah melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.