Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh gaung

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh gaung

Mangsa, Razali Halimi, 49, mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala.

Mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke dalam gaung di kiri jalan dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Kubu Bharu, kata Ketua Polis Daerah Raub Kama Azural Mohamed. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 15.24 meter, dalam nahas di Kilometer 1, Jalan Tranum ke Bukit Fraser, Raub, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Kama Azural Mohamed, berkata dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, mangsa, Razali Halimi, 49, bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke dalam gaung di kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kama Azural berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Raub berkata, operasi mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan sistem takal tali.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.