Tiada keputusan unilateral mengenai 5G, KKMM juga maklum, kata Zafrul

Tiada keputusan unilateral mengenai 5G, KKMM juga maklum, kata Zafrul

Menteri Kewangan memberikan kronologi keputusan membenarkan Digital Nasional Berhad menguruskan rangkaian 5G negara.

Tengku Zafrul Aziz berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia terlibat dalam perancangan rangkaian 5G negara sejak 2019. 
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz menyangkal dakwaan kementeriannya membuat keputusan unilateral untuk membenarkan Digital Nasional Berhad (DNB) menguruskan pelaksanaan 5G.

Sebaliknya, beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terlibat dalam proses itu sejak 2019.

Zafrul memberikan kronologi bagaimana keputusan itu dicapai, bagi menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, bahawa KKMM hanya dimaklumkan mengenainya selepas keputusan dibuat Kementerian Kewangan.

DNB, sebuah agensi kerajaan, diberi tanggungjawab membina dan menguruskan keseluruhan rangkaian telekomunikasi 5G, namun berdepan masalah termasuk syarikat telekomunikasi juga dilihat belum menerimanya.

Dalam hantaran panjang di Facebook, Zafrul menegaskan kementeriannya bekerja rapat dengan KKMM.

Beliau menjelaskan cadangan membina rangkaian 5G negara menerusi model rangkaian borong tunggal (SWN) melibatkan KKMM sejak awal 2019, dengan pembangunan rangkaian itu mengguna pakai infrastruktur telekomunikasi sedia ada.

Katanya, KKMM telah menerbitkan laporan khas rangkaian 5G kebangsaan pada Disember 2019, yang menyokong pembentukan entiti tunggal oleh sebuah konsortium 5G, terdiri daripada pelbagai syarikat telekomunikasi.

“Bagaimanapun, disebabkan perbezaan kepentingan dalam kalangan syarikat telekomunikasi, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak terlaksana seperti yang diharapkan.”

Katanya, KKMM terus terlibat menerusi pelbagai acara dan mesyuarat sejak dua tahun lalu, malah Annuar turut menghadiri demonstrasi Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G oleh DNB pada 10 Nov lalu.

“Kerajaan akan terus memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G, pelaksanaan yang cepat serta harga mampu milik bagi 5G untuk seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu atau perniagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.