
Naib Ketua Wanita I PBB, Nancy Shukri menganggarkan GPS mampu memenangi 65 kerusi DUN berbanding 72 kerusi yang dimenangi pada PRN 2016.
Beliau berkata, jangkaan itu tidak bermakna beliau tidak yakin dengan kekuatan GPS, sebaliknya ia adalah anggaran selamat.
Katanya, jangkaan itu turut mengambil kira norma baharu kempen pilihan raya pada musim pandemik, selain saingan lebih dua penjuru di kebanyakan kerusi DUN.
“PRN kali ini hanya beberapa kerusi membabitkan pertandingan satu lawan satu, yang lain tiga, empat malah ada yang enam penjuru.
“Ini menampakkan norma baharu untuk kita, bukan saya tiada keyakinan untuk GPS, tetapi sebagai ‘orang lama’ kita perlu bercakap secara berlapik.
“Daripada 72 kerusi, cara yang lebih selamat mungkin saya beri 65 kerusi, itupun saya fikir sebagai sasaran yang bercita-cita tinggi. Cuma saya harap, biarlah masih kekal dengan 72 kerusi,” katanya dipetik Berita Harian dalam program bual bicara maya hari ini.
Nancy mengakui GPS mempunyai tugas mencabar untuk mengekalkan status quo 72 kerusi.
Beliau berharap pengundi membuat penilaian adil terhadap semua penyandang kerusi GPS dan tidak menolak calon parti itu hanya kerana permintaan peribadi mereka tidak berjaya.
“Jangan sebab tak suka dengan ketua masyarakat di kampung dia, yang jadi mangsa calon kita. Tindakan sedemikian tidak begitu waras kerana kita nak memilih pemimpin untuk negeri.
“Jangan kerana minta tanah, tetapi tak dapat, dia marah dengan calon. Tanah itu bukan calon punya, wakil rakyat tugasnya membantu permohonan,” katanya.