Kes buli: MRSM gantung 6 pelajar serta-merta

Kes buli: MRSM gantung 6 pelajar serta-merta

Mahdzir Khalid berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

Dalam video berdurasi 10 saat, tular di media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.
PETALING JAYA:
Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli, digantung serta-merta selama dua minggu persekolahan, kata Mahdzir Khalid.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala empat lagi pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi, di mana semua yang terlibat adalah daripada Tingkatan 1 hingga 3.

Mahdzir berkata, pihak MARA mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

Tambah beliau, pihaknya juga tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis.

“Malang bagi Maktab Rendah Sains MARA yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, kokurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM, tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.